Persatuan Penduduk Taman Selayang Mulia

Persatuan Penduduk Taman Selayang Mulia

Perlembangaan Persatuan

UNDANG-UNDANG BAGI PERSATUAN PENDUDUK TAMAN SELAYANG MULIA


NAMA


Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PENDUDUK TAMAN SELAYANG MULIA.

Selepas ini disebut “Pertubuhan”.


TEMPAT URUSAN


Alamat dan tempat urusan pertubuhan ialah No. 6 Jalan 1/3, Taman Selayang Mulia, Batu Caves, 68100 Selangor Darul Ehsan.

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat ialah seperti di atas.

Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.


BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA

Tiada


TUJUAN/MATLAMAT

1. Membentuk masyarakat penduduk Taman Selayang Mulia yang bersatu padu, bersefahaman, hormat-menghormati, harmoni berkonsepkan kekeluargaan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

2. Mewujudkan suasana dan persekitaran penduduk yang selamat dan aman damai dari sebarang jenayah dan gejala sosial.

3. Mengadakan aktiviti-aktiviti sosial dan berkebajikan bagi memupuk semangat kerjasama dan perpaduan penduduk.

4. Menjadi wakil penghubung antara penduduk dengan institusi kerajaan, swasta dan pemaju dalam mewujudkan kerjasama dan persefahaman.


KEAHLIAN


1. Keahlian adalah terbuka kepada semua warga penduduk yang berumur 18 tahun ke atas yang memilikki atau menyewa di Taman Selayang Mulia, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

2. Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dihantar kepada setiausaha dan mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa untuk kelulusan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

3. Setiap pemohon dikehendaki membayar yuran ahli kali pertama mereka dan yuran masuk semasa menghantarkan borang keahlian mereka kepada pihak setiausaha persatuan. Yuran ahli kali pertama ini akan dikembalikan kepada pemohon sekiranya permohonannya tidak diluluskan.

4. Proses meluluskan permohonan perlu mengambil masa selama 7 hari hingga 14 hari daripada tarikh penerimaan borang keahlian oleh pihak persatuan. Permohonan yang telah diluluskan akan diberitahu dengan surat rasmi daripada pihak persatuan kepada pemohon.

5. Seorang pelajar universiti atu kolej universiti tidak boleh diterima menjadi ahli pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti berkenaan.


BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

1. Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut :

a. Bayaran masuk RM 5.00 ( Ringgit Malaysia : Lima sahaja)
b. Yuran bulanan RM 2.00 (Ringgit Malaysia : Dua sahaja)

2. Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh (14) hari dari awal setiap bulan. Walau bagaimanapun ahli-ahli boleh membayar yuran masuk dan yuran bulanan setahun sekaligus sekiranya mereka ingin berbuat demikian.

3. Ahli yang membiarkan tunggakan yurannya lebih daripada dua bulan akan menerima surat peringatan yang akan ditandatangani oleh setiausaha atau wakil setiausaha dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehinga tunggakannya telah dijelaskan.

4. Ahli yang membiarkan tunggakan yurannya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

5. Yuran khas atu kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti tunggakan yuran bulanan.

6. Resit yuran tahunan akan disampaikan kepada ahli-ahli persatuan yang telah menjelaskan bayaran mereka. Resit yang mempunyai tandatangan Pengerusi Persatuan dan Bendahari Persatuan ini adalah dokumen yang sah untuk membuktikan seseorang ahli persatuan itu telah menjelaskan yuran masuk dan yuran bulanannya.


PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

1. Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

2. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.


MESYUARAT AGUNG

1. Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

2. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

3. Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb. Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung tahunan ialah :

a. menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun lalu;
b. menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;
c. memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan
d. menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

4. Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peingatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Pertubuhan.


5. Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan :

a. bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
b. atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

6. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

7. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kuangnya 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.

8. Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuaarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

9. Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.


JAWATANKUASA

1. Satu jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan :

Seorang Yang Dipertua
Seorang Naib Yang Dipertua
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
14 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

2. Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

3. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

4. Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

5. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

6. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima :

a. Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa ;
b. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu ;
c. Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

7. Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

8. Jika seseorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu.
Jka calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

9. Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-Pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

10. Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.


KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

1. Yang dipertua, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertangungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

2. Naib Yang Dipertua hendaklah memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaannya.

3. Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1996.

4. Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

5. Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menantangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha.

6. Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jwatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.


KEWANGAN

1. Tertaaluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

2. Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih dariapada RM 300.00 ( Tiga ratus ringgit ) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di anatara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.

4. Perbelanjaan yang lebih daripada RM 500.00 (Lima ratus ringgit) bagi sesuatau masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa , dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 5000.00 (Lima ribu ringgit) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 500.00
(Lima ratus ringgit) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua bersama Setiausaha dan Bendahari.

5. Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.

6. Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1 hb. Januari dan berakhir pada 31 hb Disember tiap-tiap tahun.


PEMERIKSA KIRA-KIRA

1. Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

2. Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.


PEMEGANG AMANAH

1. Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah
(Deed of Trust).

2. Pemegang Amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Pertubuhan.

3. Seseorang Pemegang Amanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan bagi seseorang Pemegang Amanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pemegang Amanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung.


TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

1. Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras
dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.


PENASIHAT/PENAUNG

1. Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.


LARANGAN

1. Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung kepada nasib;

2. Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;

3. Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan;

4. “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.


PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari daripada tarikh keputusan mesyuarat agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.


PEMBUBARAN

1. Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.

2. Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

3. Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.




………………………………..……… ………………………………………….
Pengerusi Setiausaha

Nama : ABDUL SAMAD B. ASHAARI Nama : MOHD. FAUZAN B. AMRAN

0 comments:

Peta Taman Selayang Mulia